SUJUD SYUKUR DAN SUJUD TILAWAH
Sujud
syukur dan sujud tilawah itu sunat hukumnya dilakukan di luar sembahyang yaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat
sajadah atau mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah
berniat sujud tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam
sembahyang.
Niat sujud tilawah
ini adalah wajib bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam
:
Maksudnya:
“Sesungguhnya amal perbuatan itu hanyalah dengan niat”
Begitu juga
dengan takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat
sujud tilawah itu menurut pendapat al-ashah.
Di samping berniat
di dalam hati ia juga disunatkan melafazkan niatnya itu, seperti:
Ertinya:“Sahaja aku
melakukan sujud tilawah kerana Allah Ta‘ala”
Kemudian itu
bertakbir sekali lagi untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya. Apabila
hendak bangun dari sujud adalah disunatkan ketika mengangkat kepalanya dengan
bertakbir.
Adalah disunatkan
menurut pendapat al- shahih memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak
sujud sehingga ia meletakkan dahinya ke tempat sujud, dan juga bagi takbir yang
ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula.(Al-Majmuk 3/561)
Setelah ia bangun
dari sujud maka disudahi dengan salam iaitu dalam keadaan dia duduk tanpa
bertasyahhud. Salam menurut pendapat al-azhar adalah wajib kerana ia merupakan
syarat sebagaimana di dalam kitab Syarah Al-Minhaj.
Kesimpulannya
perkara yang dituntut yang juga merupakan rukun sujud tilawah bagi yang
melakukannya bukan di dalam sembahyang ialah niat sujud, takbir seperti yang
dilakukan ketika hendak mengangkat takbir untuk menunaikan sembahyang, sujud
dan juga salam.
Perlu diingat bahawa
untuk melakukan sujud tilawah di luar sembahyang ini tidak disunatkan bangun
dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah
hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka
dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca takbir
dan sujud.(At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)
BACAAN ATAU
ZIKIR KETIKA SUJUD TILAWAH
Adalah sunat
hukumnya membaca zikir ketika di dalam sujud tilawah. Di antara zikir yang di
galakkan itu ialah:
Artinya: “Telah
sujud wajahku kepada (Allah,Zat) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan
yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatanNya
maka Maha berkat (serta maha tinggilah kelebihan) Allah sebaik-baik Pencipta”
Dan zikir yang lain
sebagaimana yang di sebut dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya : “Ya
Allah tuliskan bagi ku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini
berharga di sisiMu dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya terimalah ia
daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud”
(Hadis riwayat
Al-Tirmidzi dan lainnya dengan sanad yang hasan)
Sementara itu
Al-Ustaz Ismail Al-Dharir di dalam tafsirnya menaqalkan bahawa Imam
Asy-Syafi‘ie memilih untuk diucapkan di dalam sujud tersebut :
Ertinya: “Maha suci
tuhan kami, sungguh janji Tuhan kami tetap terlaksana”
Walau bagaimanapun
adalah harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud sembahyang.
Menurut Imam
Al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan
zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun ia suci dari hadas
(dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:
Ertinya:“Maha suci
Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah
melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.
Dibaca zikir
tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyatul
masjid.(Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 1136)
APA DIA SUJUD SYUKUR
ITU ?
Sujud syukur ialah
sujud untuk menyatakan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah
Subhanahu wa Ta‘ala atau atas terhindarnya seseorang dari malapetaka.
HUKUM SUJUD SYUKUR
Jumhur ulama
berpendapat bahawa sujud syukur itu adalah sunat berdasarkan hadis yang
diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya yang maksudnya :
“Sewaktu Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi
lalu memasukinya. Kemudian Baginda menghadap kiblat dan sujud, dan memanjangkan
sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya bersabda:
“Sesungguhnya Jibril mendatangiku dan memberi khabar gembira kepadaku. Jibril
berkata:“Sesungguhnya Allah mengatakan kepada engkau: “Siapa yang memberi
selawat ke atas engkau Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang
memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya” Lalu saya
bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah”.
(Hadis riwayat Imam
Ahmad)
Dalam hadis yang
lain pula yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya bahawa Baginda
Shallallahu ‘alaihi wasallam jika sampai kepada Baginda sesuatu perkara yang
menggembirakannya, Baginda akan melakukan sujud.(Syarah Al-Minhaj)
Sujud syukur di
dalam mazhab Asy-Syafi‘ie tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Ia hanya
sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang mendapat limpahan rahmat
daripada Allah atau terhindar daripada malapetaka.
Di antara sujud yang
dikategorikan sebagai sujud syukur ialah sujud selepas membaca ayat 25 daripada
surah Shad iaitu:
Tafsirnya: “Maka
Kami mengampuni kesalahannya. Sesungguhnya dia dekat dari Kami dan mempunyai
tempat kembali yang baik”.
Dari itu sujud
kerana ayat ini tidak boleh dibuat di dalam sembahyang kerana sujud pada ayat
di atas adalah atas dasar syukur dan sujud syukur tidak boleh dilakukan di
dalam sembahyang. Jika dia sujud maka batallah sembahyangnya menurut pandapat
al-ashah, kecualilah jika ia tidak mengetahuinya atau ia terlupa.
BAGAIMANA SUJUD
SYUKUR DILAKSANAKAN ?
Sujud syukur
dilaksanakan sama halnya seperti melakukan sujud tilawah ketika ia dilakukan di
luar sembahyang iaitu berniat untuk melakukan sujud syukur,takbir,sujud dan
juga salam.
Syarat-syarat sahnya
juga sama seperti syarat-syarat yang terkandung di dalam sujud tilawah iaitu
suci dari hadas kecil dan besar, menutup aurat dan menghadap kiblat.
Dari segi zikir yang
sunat dibaca ketika sujud syukur ini adalah sama seperti zikir-zikir yang telah
dijelaskan di dalam sujud tilawah.
Begitulah cara Islam
mengajarkan kita bagaimana cara mensyukuri nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala
atau terlepas daripada bala. Di samping sunat melaksanakan sujud syukur
disunatkan juga bersedekah dan melakukan sembahyang sunat syukur. ( Mughni
Al-Muhtaj 1/219). Menurut Al-Khawarizmi pula, jika ia menggantikan tempat sujud
itu dengan bersedekah atau sembahyang dua rakaat maka itu adalah yang lebih
baik.
Menurut Imam
Al-Ramli bahawa sujud syukur itu terluput waktunya jika jarak di antara sujud
itu dan sebabnya terlalu lama.
PENUTUP
Sujud tilawah dan
sujud syukur seperti yang dijelaskan di atas merupakan satu ibadat yang
tuntutannya adalah sunat. Cara melakukannya pun mudah tetapi nilainya tinggi di
sisi Allah seperti mana yang dijelaskan oleh hadis Baginda tentang kelebihan
sujud tilawah. Dari itu, seyugianyalah diingatkan supaya jangan dilepaskan
peluang melakukan ibadat sujud ini, walaupun ia hanya merupakan tuntutan sunat
tetapi dengan melakukannya berarti kita menghidupkan sunnah Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dan tidak mengabaikan ajaran Islam. Wallahul
“a’lam.
WALLOHUL
MUWAFIQ ILA AQWAMIT THORIQ